BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

Sunday 7 July 2013

ALAS BERNYAWA

Jun 23, 2013


Jika malam esok kumimpikan kita lagi, kumohon supaya bantal dan selimutku bernyawa agar ada ruang untuk menekup serta membalut kenangan itu dan esok paginya boleh kusantap sarapan madu cinta yang boleh mengukir senyuman manis buat pelangkah utama pembuka rezeki pabila matahari meneruskan jadual kerjanya... masam alas ini sudah sebati mengikut butir-butir peluh yang kugendong mengikut masa yang tidak menentu...terangkan ia pabila mengeluh nafas besar dan kecil yang kadang jarang terbit sedikit demi sebanyak lakonan bibir yang basah dengan macam-macam agenda dan susur galur perbuatan-perbuatan silam yang setiap hari aku cuba untuk menguburkannya tapi dilapik dengan ingatan tebal yang susah untuk menjadi kabus rahsia bidadari cantik dari syurga...malam ini aku cuba untuk bermimpi lagi dan perlahan-lahan ku berbisik dan kutenung lama-lama bantal serta selimut ku...'Bekukan kenangan itu'. (Hairi Safwan@Jetwallet)

PEDAGANG MIMPI

Jun 1,2013



Kita tidaklah sebaik-baiknya yang kita impikan... Jika jahil mereka yang kita nampak maka terpancar cerminan diri kita yang halus dan sama banyak hitungannya mengalahkan ribuan debu-debu... Biar bodoh daripada cerdik akal yang lumpuh... Matang dalam kemenangan yang kecil lalu dianggap satu kejayaan yang besar. Tanpa didikan akal yang sempurna, mulutmu mencurah kata-kata basi ciptaan sendiri yang kau anggap katarsis percuma pelawaan sandiwara yang kencang berlagu... Hukum itu kau permainkan bagaikan satu sketsa yang masih dianggap lama... Tanpa kau tahu sedikit demi sebanyak raqib dan atid mencatat sambil melihat tanpa henti setiap perbuatan kita... Kesian pada yang menurut perintah dunia yang menganggap ia satu kuasa veto yang tidak boleh ditentang walaupun kita berlari mengikut urutan pemikiran... KENAPA?!... “Kami nak jaga periuk nasi kami...”...  Arghhh!!! Terpampang luas kejahilan kita sambil disaksikan akal-akal tipikal. Patung-patung kecil berterbangan sambil matanya melilau merenung sekeliling yang penuh dengan kejayaan tangisan darah dunia yang kotor... Siang menjerit mahu pulang bila malam datang untuk menggantikan tugasnya. Hari ini, kau rebah pedagang mimpi kerana kau perlekehkan penghulu hari yang sudah tercatat indah dalam peraturan yang tidak boleh dipadam hinggalah kita menjadi kelkatu yang hilang arah dan tujuan... (Hairi Safwan@Jetwallet)

NAFSU MANUSIA

November 18, 2012

Berperang dengan perangkap akal, menahan dengan kesedapan kata, menunggu dengan kekalahan yang sangat mudah dengan kenikmatan yang sementara, penyesalan yang sia-sia itulah NAFSU MANUSIA... Sebagai hadiah, kerak nasi di rumah kenduri... Nafsu-nafsi 1 hingga 9 perlawanan tidak kita tahu antara mampu kita menang atau kalah ataupun seri dengan niat sebelah kaki kiri ke neraka dan kanan ke syurga... Berperanglah dengan nafsu semampu dan seumur hidupmu... (Hairi Safwan@Jetwallet)

RATAH LUMPUR DI KUALA LUMPUR

November 9, 2012

Aku mahu melunaskan kerja-kerja janji bagi memenuhi prinsip serta idea kemarahan yang berlagu-lagu... Hasilkan sendiri kerja lukis kita yang mengikut tetapan waktu yang tenang... Usah terburu-buru untuk melintasi atau melebihi tongkat si buta yang tanpa sedar kelajuan si buta itu jauhnya berbatu-batu... Keadaan pagi ini pukul 3.35 di hadapan Pudu Raya Kuala Lumpur yang terus membesar, aku dilayangkan dengan irama merdu nyanyian jalanan. Kita ini sebenarnya masih gelandangan kecil yang mahu hebat di antara yang terhebat... Setiap orang di sini aku lihat memikul berat masing-masing yang dipenuhi janji, keazaman, tekad, usaha, tawakkal, masalah serta ilmu secupak yang disimpan di ruang-ruang kecil pembuluh akal... Kalau tak gentar memilih Kuala Lumpur, maka kita tidak gentar mencium tapak kaki sendiri yang dilihat pada aras atas memang bersih, jika di bawah kotornya sangat melampau. Pesan orang tua-tua, “Kita buat dia, mau dengan tak mau ja..”.. Hidup Sang Kancil dengan kepintaran, hidup kita dengan kebijaksanaan... Lagi dalam cara penggunaannya jika pandai menerjah ke dalam kolong-kolong yang gelap tapi kita sendiri yang mencerahkannya... Harganya murah tapi penuh dengan nikmat kepuasan dalam ruang legar kita sendiri... Siapa nak bagi mak ayah kita makan dan menjaga mereka, kalau tidak kita sendiri. Di hadapan aku ini aku lihat pergabungan pelbagai budaya bakal kelahiran baru yang belum pasti lagi mengenal lama... Jangan salahkan bangsa lain, jika kita tidak melihat bangsa sendiri di celah kangkang kita mengikut adat petua orang lama. Bukan untuk melihat hantu tapi untuk melihat bangsa sendiri menjadi hantu. Cuba tenung sekali itulah wajah kita sendiri di celah kangkang kita. Tak perlu salahkan sesiapa... Ingat kembali kenangan masing-masing di mana waktu perut kita berkabung di saat mula-mula kita menjejakkan kaki di Kuala Lumpur... Di hadapan aku ada seorang tua yang tersenyum melihat aku, tapi dalam senyuman itu aku lihat sekumpulan militan kecil sedang berlegar-legar di dalam kotak fikirannya... Walaupun senyum itu terlebih gulanya tapi masih lagi isinya kelat dan pahit dengan segala nota-nota pengalaman hidup yang masih kekal. Jangan malu untuk bertanya mereka serta mendengar cerita mereka kerana garam itu telah banyak ditelannya... Jangan takut untuk merempuh Kuala Lumpur yang penuh dengan carta manusia yang berlumba-lumba... Semoga kita berjumpa... Selamat meratah lumpur di Kuala Lumpur... (Hairi Safwan@Jetwallet)

KAWAN, SAHABAT ATAU KASABANGSAT

Oktober 29, 2012


Dan dengan ini aku persembahkan drama kasabangsat perlakuan topeng ortodoks sang sepermainan... Aku termenung memandang satu sudut kosong sambil ditemani qarin yang menjelma ketika aku menyalakan lilin bagi melahirkan suasana suram bakal kehidupan yang masih dalam permainan akal. Aku teringat kata seorang kawan yang buatkan aku melonjak perasaan usaha yang kelihatannya seperti bersama tetapi tetap aku seorang. Itu jika aku masih berpegang pada paksi rumi ayat-ayat madu mereka yang kadang-kadang bercampur dengan bahasa lagenda si barat yang masih dianggap menjadi kasta yang tertinggi, sedangkan sebenarnya kita sendiri boleh berdiri tanpa mereka... fikirkan balik jika tidak mengikut rutin amalan kerja sampah hidup warna-warni mungkin tiada lagi pengalaman kita. Tapi... bila ada pokok yang layu,kita terus siram air... Tapi ada harapankah pokok tu nak bagi kita bunga? Kadang-kadang sakit bila ada tikaman belakang oleh wira kehidupan yang menjadikan landasan sampah untuk wakil perang. Apa bezanya kawan, sahabat atau mereka yang kita panggil sebagai apa-apa sahaja bila kita berpasak di puncak dengan empat wajah emosi yang berbeza... Gembira, marah, sedih dan memerlukan mereka, ini boleh dianggap perancang masa depan bagi memadam kehidupan gelap yang lalu. Kadangkala mereka boleh menjadi diktator mengawal jadual hidup kita sama ada berjaya atau berkeceramuk banyaknya umpama serpihan kaca yang pecah satu persatu... Kerana kita terlalu berkiblatkan nafsu-nafsi perencah wangian acuan janji-janji nakal ciptaan kawan, perasaan dan ikutkan kata hati tanpa memikirkan apa yang akan terjadi selepas itu yang memerlukan kita mengejar pemikiran lebih pantas daripada cahaya, memang takkan sempat... Jangan terlalu fikirkan yang berat jika bulan masih lagi kita lihat tanpa memegangnya... Ingatlah di dunia ini tiada manusia yang sempurna melainkan Rasulullah s.a.w... Ibu, ibu, ibu dan barulah ayah... Ukirlah senyuman diurat-urat senja itu sebelum memikirkan kawan, sahabat atau kasabangsat... Azali lagi kita lihat kawan adalah teman sementara yang datang untuk memotretkan kehidupan kita yang indah dan pahit... Setiap manusia berhak mempunyai pasangan iaitu kawan susah dan senang tapi semua itu sementara... Selesaikan dahulu kerja di dunia ini... yang paling senang iaitu mendengar dan menjaga ibu, ibu, ibu dan ayah... Itulah kawan... Tanpa benang, jarum takkan mengait.. Tanpa jarum, benang takkan menyelit... Ya, rendahkan kepala kita dan fikirlah... Pesanan khas buat seorang kawan, sahabat atau kasabangsat yang memegang teguh topeng-topeng sifat itu... Hai, kawan! Akalmu tercicir... Kutiplah ia di atas lantai... Jangan salah hitung takut terlebih... Ratahlah hingga kenyang kata-katamu... Kunyahlah ia buat membentuk dirimu.. (Hairi Safwan@Jetwallet)

SUARA DARI SYURGA

 Oktober 28, 2012 

Dalam kotak fikiran yang dirancang penuh oleh akal, dengan niat yang kecil yang masih berulang-ulang, aku susunkan dengan rapi sekadar mahu mengisi landskap ketenangan buat menjadi teman seumur hidup.. Kumohon dapat bertemu rusuk kiri dari syurga.. Setiap hari titik-titik perjalanan terus menapak. Malam nak lanjut, siang tak sanggup, siang nak henjut, malam jadi takut... Tapi kadang-kadang waktu tu yang kacau sikit dengan bantuan jin krengkongkeng...  Sekali aku terpandang susuk tubuh tanpa pandangan nafsu, hanya iringan belaian mata dengan sentuhan halus si pemain seruling, dia melihat aku tapi terpinga-pinga, dan hari itu Sang Pencipta menduganya dengan warna manusia iaitu sakit tanda dia disayangi-NYA... Kenalnya kami hanya di situ tapi cakap kami macam dah 3 tahun kenal... Sampai hari ini, aku hanya mendengar SUARA DARI SYURGA... (Hairi Safwan@Jetwallet)

TUAN BARU DI RUMAH LAMA - KUALA LUMPUR IKUT AKU MENANGIS

Oktober 28, 2012

Rumah ini rumah lama. Orang yang bangunkan rumah ini, matanya melihat tapi buta, telinganya dengar tetapi pekak, mulutnya petah tapi bisu.

Selamat datang Tuan. Mari saya tunjukkan kawasan rumah ini. Sebelum itu, saya mohon tuan untuk membuka kasut. Supaya lebih tenang merasai nadi rumah ini. Cuba tuan lihat pokok di hadapan rumah ini. Jangan ditebang, kerana pokok ini menjadi rumah burung-burung  kecil yang mana burung-burung ini akan kejutkan tuan di waktu pagi.

Cuba tuan berjalan di atas tanah, sejuk bukan? Lama-lama ia akan menjadi panas jika tuan salah melangkah. Jemput masuk tuan. Rumah ini kayu-kayunya, kayu lama tapi ukirannya masih kukuh dan cantik. Perekanya orang bijak pandai, tak perlu tuan nak baharukan.

Oh, maafkan saya. Ada beberapa sarang angkut-angkut yang menyambut kedatangan tuan. Nanti saya akan bersihkan untuk tuan. Setiap pagi, tuan perlu membuka tingkap-tingkap rumah ini kerana angin dan cahaya serta tuan akan mendengar suara burung. Rumah ini tidak seperti rumah lain tuan. Rumah ini waktu pusingnya 24 jam setiap hari. Sesiapa yang pernah tinggal di sini kebanyakkannya berjaya. Tetapi ada yang gagal kerana mereka tidak kembali kepada fitrah. Saya harap tuan berjaya.

Tuan di belakang rumah ini ada satu bilik yang menempatkan cermin-cermin. Saya nak tuan masuk ke bilik itu dan berdiri di hadapan cermin-cermin itu. Cuba tuan bertanya, adakah tuan mahu mengubah peraturan-peraturan di rumah ini? Sudahkah tuan fikir masak-masak untuk memilih rumah ini? Saya harap tuan dapat memahami, menjaga dan menghargai hasil kerja orang lama di rumah ini, kerana tuan hanyalah tuan baharu di rumah lama.(Hairi Safwan@Jetwallet)